Pernahkah anda melihat orang utan dari dekat di habitat semulajadinya? Pengalaman pertama mendekati orang utan mungkin menakutkan tetapi bertukar seronok apabila menyaksikan telatahnya.Baru-baru ini, sekumpulan wartawan yang menyertai rombongan Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Sabah, berpeluang mendekati orang utan di luar kurungan.Pusat pemuliharaan di kawasan hutan seluas 4,294 hektar ini yang dibuka pada 1964, kini menempatkan lebih 300 ekor orang utan.Mengikut kajian oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan pada 2004, terdapat kira-kira 13,000 orang utan di Sabah, kata pemandu pelancong rombongan itu, Mark Louis Benedict.
PUSAT PEMULIHARAAN
Memandangkan habitatnya semakin terancam kerana pembalakan, pusat ini berperanan besar dalam memastikan survival haiwan ini.Di sini, bukan sahaja orang utan yang dipulihara malahan habitatnya.Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Laurentius Ambu berkata, pusat ini juga membantu memulihkan orang utan yang menjadi haiwan peliharaan dan mengembalikannya kepada habitat semulajadi apabila masanya sesuai.Selain itu pusat berkenaan juga berusaha menyelamat dan mengembalikan semula ke dalam hutan anak orang utan yang terpisah daripada ibunya, kata beliau semasa lawatan itu.Oleh kerana pusat ini terletak di pinggir hutan simpan Kabili-Sepilok, lebih kurang 25km dari bandar Sandakan, pengunjung juga boleh melihat pelbagai jenis flora seperti pokok bunga, pokok kayu dipterokap dan pokok buah-buahan liar.Di hutan simpan ini juga terdapat 217 spesies burung, 70 spesies mamalia dan sekurang-kurangnya 400 spesies pokok kayu. Pelawat juga berpeluang melihat binatang lain yang dilindungi seperti kelawar, kera, beruang, kucing hutan dan buaya yang hidup bebas di pusat ini.
SANKTUARI HIDUPAN LIAR SUNGAI KINABATANGAN
Rombongan itu juga kemudian ke Sanktuari Hidupan Liar Sungai Kinabatangan untuk mengamati kehidupan orang utan dalam hutan.Mereka dibawa menyusuri Sungai Kinabatangan, dengan panjangnya 560km dan sungai kedua terpanjang di Malaysia, untuk menikmati panorama yang indah di kedua-dua belah tebing.Sungai ini merupakan aset penting bagi aktiviti pelancongan, yang seterusnya menjana ekonomi penduduk setempat.Keistimewaan orang utan ini menjadikan Sanktuari Hidupan Liar di Hilir Kinabatangan tidak putus-putus dikunjungi pelancong luar mahupun tempatan, kata Mark.Dikatakan setiap hari purata antara 80 dan 100 pelancong datang ke sanktuari itu semata-mata untuk melihat orang utan.Mereka semuanya mahu melihat dari dekat rupa haiwan ini yang hanya terdapat di Borneo dan Sumatera.Pada masa yang sama, pelbagai jenis binatang liar lain yang banyak terdapat di kawasan itu juga menarik pelancong untuk terus mengunjungi kawasan itu.
KHAZANAH ALAM TERPELIHARA
Selain orang utan, hutan simpanan seluas 27,000 hektar itu juga dikatakan mempunyai sembilan spesies monyet seperti kera hantu, kongkang, ungka dan beruk.Selain itu terdapat 106 spesies burung, 40 spesies mamalia dan empat spesies reptilia.Orang utan bergerak secara berkumpulan dan mudah dilihat kerana gemar bermain di dahan pokok yang berjuntai ke arah sungai.Pelancong boleh menganggap diri mereka bertuah jika berpeluang melihat gajah 'pygmy' yang hanya boleh ditemui di Borneo.Terdapat lima syarikat pelancongan yang menyediakan kemudahan calet yang dibina di tebing Sungai Kinabatangan yang menawarkan panorama yang menarik untuk pencinta alam semulajadi termasuk Sukau Rainforest Lodge dan Kinabatangan Riverside Lodge.Pelancong yang datang ke sanktuari ini boleh meninjau kawasan ini sama ada menggunakan bot ataupun treking merentas hutan secara berkumpulan.
PANORAMA YANG MEMPERSONA
Pelancong akan terpesona melihat orang utan sambil menikmati keindahan sungai yang tenang dengan hutan hijau di kiri kanannya.Sanktuari ini, yang dibuka pada 1984, secara tidak langsung turut memperkenal Kampung Sukau, kata Mark.Kampung Sukau yang terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta dari Sandakan menjadi pintu utama ke Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.Pelancong yang telah sampai ke Kampung Sukau hanya perlu berjalan kira-kira lima minit untuk sampai ke sanktuari hidupan liar ini.Dari Kota Kinabalu, pelancong yang berminat ke sanktuari ini boleh menaiki kapal terbang selama 40 minit untuk sampai ke Sandakan ataupun menaiki kereta yang mengambil masa kira-kira lima jam.
Re-create by Firdaus article by Siti Zubaidah Abdullah SANDAKAN
Saturday, November 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment